Pengajian Sains Sosial
Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan
Kajian Tempatan

Thursday

PENDAHULUAN

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan merupakan mata pelajaran yang memainkan peranan penting dalam kurikulum kebangsaan sekolah rendah bagi melahirkan murid yang dapat menunjukkan perasaan bangga dan cinta akan negara. Mata pelajaran ini memberi tumpuan kepada perkembangan diri, hubungan dengan orang lain dan interaksi dengan persekitaran. Mata pelajaran ini juga adalah wahana bagi mewujudkan semangat perpaduan dan apresiasi pelbagai budaya masyarakat negara ini. Kandungan mata pelajaran ini membolehkan murid memperoleh pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik bagi
menghadapi cabaran masa depan.
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan menekankan empat prinsip pendidikan yang penting iaitu belajar untuk mengetahui ( learning to know), belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup bersama ( learning to live together) dan belajar untuk membentuk peribadi ( learning to be). Belajar untuk mengetahui membolehkan murid menguasai ilmu bagi membina perasaan dan tingkah laku sivik. Belajar untuk bertindak merujuk kepada aplikasi pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan harian murid yang dikembangkan menerusi aktiviti di dalam dan di luar bilik darjah. Belajar untuk membentuk
peribadi membolehkan murid berkembang secara menyeluruh dari segi rohani, intelek, fizikal, emosi dan sosial. Prinsip belajar untuk hidup bersama merupakanasas dalam mewujudkan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Melalui prinsip ini, perpaduan dalam keluarga komuniti dan masyarakat pelbagai kaum dapat dipupuk.
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan ialah mata pelajaran teras untuk semua murid sekolah rendah Tahap II. Selaras dengan ini, pihak sekolah bertanggungjawab membina sahsiah dan potensi murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang perlu bagi murid untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab sivik. Murid juga perlu dipupuk dengan pemikiran kritis dan kreatif serta kesedaran sivik untuk melahirkan individu yang dapat memainkan peranan yang berkesan dalam keluarga dan masyarakat.
Matlamat Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bertujuan memberi kesedaran kepada murid tentang peranan, hak dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat dan negara untuk melahirkan anggota masyarakat dan warganegara yang bersatu padu, patriotik dan boleh menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, negara dan dunia.

0 comments:

Followers

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP